Berikhtiar Dengan Madu ?



Madu mempunyai tiga sifat unggul iaitu: penyembuhan (dari penyakit-penyakit), kemanisan dan kelembutan.

Ubat para doktor kesemuanya pahit, akan tetapi ubat Allah adalah manis iaitu madu. Kita juga mestilah memanjatkan doa serta beristigfar sebanyak-banyaknya kepada Allah s.w.t bagi memohon keampunannya dan penyembuhan penyakit-penyakit yang dialami.

Ubat-ubatan tidaklah boleh menyembuhkan kecuali apabila diizinkan oleh Allah s.w.t. Hakikatnya Allah jualah yang menyembuhkan kita.

Marilah sama-sama kita renungi dan hayati dalil dari Al-Quran dan hadis yang menjadi rahsia di sebalik rahsia, terapi dengan madu dan simbolik  suatu nama  iaitu “IKHTIAR MADU”

1.   "Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan"    (Asy-Syu'araa: 80).

2.   "Dan Kami turunkan dari Al Quran  suatu yang menjadi penawar.." (Al-Israa': 82).

3.    Sehubungan dengan itu, Allah s.w.t telah berfirman : Dan Tuhanmu mewahyukan kepada Lebah; “Hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-gunung, di pokok-pokok kayu dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah daripada segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang kamu sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. Dengan itu, akan keluarlah minuman (madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannnya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada berbagai-bagai jenis penyakit.. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir”(An-Nahl:68-69).

4.    Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Al-Hakim daripada Ibnu Mas'ud r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Madu adalah penyembuh untuk penyakit dan Al-Quran adalah penyembuh bagi penyakit di dalam hati dan hendaklah kamu berubat dengan madu dan Al-Quran”.

5.    Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa yang makan madu tiga hari di dalam setiap bulan, tidak akan tertimpa ke atasnya bala yang besar”.

 6.    "Kesembuhan itu terletak pada 3 kaedah: meminum madu, berbekam dan pemanasan dengan api. Tetapi aku melarang umatku mengubat dengan kaedah pemanasan dengan api." (Hadis Riwayat Bukhari).

7.    Rasulullah s.a.w bersabda: "Setiap penyakit ada ubatnya. Jika ubat itu mengenai penyakit, atas izin Allah ia akan sembuh" (Hadis Riwayat Muslim).

8.   Tiadalah minuman (utama) bagi saya sejak 20 tahun selain air kosong, susu dan madu" (Hadis Riwayat An-Nasaa'i).

9.   "Adalah minuman yang paling digemari Rasulullah s.a.w  ialah madu" (Hadis Riwayat Bukhari).

10.   Menurut Imaam Adz-Dzahabi, perbuatan Rasulullah s.a.w membuka sarapan pagi dengan cara 'at-tunuub' iaitu minum madu dengan air kosong sebelum sarapan.."merupakan suatu rahsia yang luar biasa dalam perkara memelihara kesihatan !"

11.   Diriwayatkan mengenai Nabi Sulaiman a.s bahawa beliau pernah bersabda: "Pergi dan carilah kamu akan madu lebah (yang bagus) dan kamu pergunakanlah dia, kerana padanya terdapat banyak manfaat dan banyak kebaikan."